Thursday, August 16, 2018

~ Ratapan Anak Merdeka ~

Embun pagi ini
Seakan menangis tanpa rasa
Mentari pagi ini
Seakan melampiaskan cahayanya dalam lara
Sepoi angin cuba menyejuk sukma
Namun ..
Bumi cinta ini seolah hilang dari nyata
Seakan hilang tuan empunya dunia

Di atas sebuah tanah pernah merdeka
Pernah bingit dengan laungan penuh cinta
Pernah sesak dengan ngauman seisi jiwa
Hari ini
Segalanya seakan terlalu jauh meninggalkan sebuah rasa
Hilang sebuah jiwa
Malah hilang segalanya

Di atas tanah bumi cinta
Ia seakan di cemari dengan kebobrokan menggila
Ia terus menjulang nama sebuah kedurjanaan
Ia terus melebarkan sayap suara kebejatan dunia tanpa sempadan
Merdeka itu di salah ertikan

Bumi ini kian di mamah masa
Generasi ini semakin leka
Entah esok mahu pun lusa
Kita bisa saja bukan di dunia
Lalu ..
Adakah bumi ini perlu ditinggal dengan cela ?
Adakah bumi cinta ini perlu disemai dengan noda ?
Adakah bumi kasih ini perlu dibiar tanpa bela ?

Bangunlah wahai anak merdeka dunia
Kalian masih punya masa membina sebuah cerita
Mencari semula titik makna merdeka
Sehingga kerlipan bintang menyeri indah sebuah dunia
bernama Malaysia

by :  Nazura Mohd Nasir