Sunday, June 13, 2021

~ Pindah Sekolah 2021 ~

Assalamualaikum

Alhamdulillah, masih ada kekuatan, kesempatan dan sedikit kelapangan. Sementara menunggu respon untuk set up bahan pdpr. 

Hari ni, baru ada kekuatan untuk abadikan moment pindah sekolah. Ini sekolah ke-4 sepanjang aku posting sejak 2012. Kalau campur dengan interim, maknanya dah 5 sekolah lah macam tu.

9 tahun perkhidmatan, tukar 4 sekolah. Aku harap smpai pencen boleh la cukup kan 10 sekolah. hahahaa. Sejak habis belajar, pengalaman keluar dan masuk 5 buah sekolah adalah suatu hal yang cukup berharga. Di pindahkan itu biasa. Mohon pindah sebagaimana apa yang aku buat kali ini adalah suatu hal yang sangat berat.

Setiap sekolah meninggalkan kenangan yang pelbagai. Memberikan pengajaran yang sangat mematangkan. Aku tidak mahu komen panjang, apa kenangan dan pengajaran yang ada pada setiap sekolah di mana ia bakal meninggalkan persepsi yang pelbagai. Tapi cukuplah aku randomkan sahaja apa yang aku peroleh, sejak dari interim hinggalah sekarang. 

1. Jadilah teman kerja yang membantu.

Entah kenapa, walaupun usia perkehidmatan sudah mencecah 9 tahun, aku masih menganggap aku tetap budak baru posting. Bukan rasa diri muda. Kalau rasa diri muda, tak ada jugak lah setiap kali orang tanya hala tuju selepas ini, aku akan jawab nak pencen awal. Tapi seorang cikgu merangkap ayah angkat kata : Cikgu tahu, misi kau lebih daripada itu. " eh, mana tahu ?"  " Cikgu tahu lah. Kau tu anak murid cikgu. Cikgu kenal kebolehan kau " Tak tahu lah itu kata-kata semangat ke .. rasa orang tua ke .. atau nyata. Thats my Mr. Jaheni yang akhirnya telah bernikah setelah sekian lama. Alhamdulillah. Tapi tu la. Berbalik dengan kata-kata dia, aku masih nampak masa depan aku adalah pencen awal. hahahaha. 

Cerita teman kerja, alhamdulillah aku dikurniakan teman kerja yang sangattttt pelbagai. Aku pernah berhadapan dengan teman kerja yang sangat supportive. Tak kisahlah dalam kalangan pentadbir atau teman sejawat, mereka bakal membuatkan kita sangat gembira untuk terus bekerja walaupun hakikatnya kerja-kerja tersebut di luar dugaan kita untuk selesai.  Untuk dapatkan teman kerja yang membantu ini juga sebenarnya bukan hal yang mudah. Sedangkan kawan baik kita sendiri belum tentu dapat membantu kita dalam hal kerja. Aku memegang prinsip, kawan baik belum tentu dapat menjadi kawan kerja yang baik, tapi kawan kerja yang baik sememangnya boleh menjadi kawan yang baik. 

Beberapa kali aku berjumpa dengan keadaan ini, di mana akhirnya aku membuat keputusan berjalanlah atas kaki kau sendiri, tanpa kau menarik tangan orang lain untuk berjalan bersama. 

Berhadapan dengan teman kerja yang sangat toksik juga antara pengalaman dan pengajaran yang sangat dalam kesannya pada aku. Di awalnya bersama, namun bila mana kerja semakin meruncing aku kena tinggal sendiri untuk selesaikan tugasan. Sampai pernah ada student tanya : Cikgu, punya banyak kerja macam ni memang cikgu buat sorang-sorang ke ? Cikgu lain tak ada ke ? 

Ya, memang tak logik kerja yang begitu banyak .. berlari ke sana ke sini, tunggang langgang dengan masuk kelas lagi, tugasan itu berada di bahu aku seorang. Tapi, cukup aku kata pada budak : Cikgu lain pun ada kerja mereka sendiri.

Hanya kerana aku pembantu, dia humban semuanya ke aku. Bila nama naik dalam meeting, aku juga yang salah. Entah. Manusia ni, ada ego masing-masing. Kalau kita rasa kita lebih tua, jangan rasa segala benda kita pandai. Kalau kita rasa kita cukup dengan pengalaman, ajarkan. Buat lah bersama. Jadilah tua yang berguna. Bukan tua yang membinasa.

2. Teman Kerja Paling Toksik

Teman kerja toksik ini ada di mana-mana. Mana-mana organisasi, mana-mana institusi ... senang kata mana-mana lah. Ada mereka yang mulut manissssssss sangat. Muka memang indah dengan senyuman. Tapi sangat berbisa ibarat sekawan tebuan. Ya, aku sentiasa mengingatkan diri aku dan kalian yang membaca agar jauh daripada sikap sebegitu. 

Teman kerja sebeginilah yang kebanyakannya mengganggu emosi. Aku tak nafikan, tekanan emosi sangat besar. Namun, keadaan itu jugalah mematangkan aku dengan baik. Banyak benda aku belajar daripada teman-teman begini. Tenang. Itu adalah kunci paling sukar tapi paling berjaya. Sebaik saja kita tenang, kita punya lebih banyak masa untuk berfikir, adakah tindakan-tindakan yang kita terima itu ikhlas atau punya sesuatu. 

Fitnah, dipulaukan dan sabotaj kerja. Alhamdulillah aku dapat hadapi dengan tenang. Maka, terlahirlah nazura sekarang. Super tenang. Nak cakap apa .. nak sabotaj kerja .. in sha Allah aku hadap. Aku okey je. No wory. Tapi satu je lah. Memang aku akan ingatlah sampai mati. hahaha.

Mungkin dah tak jumpa dah nazura melenting marah-marah sebagaimana dulu. Berhadapan dengan teman kerja begitu, aku lebih banyak diam. Aku lebih selesa layankan permainan mereka. Sampai satu saat yang cukup betul, aku akan usaha dengan apa cara sekali pun untuk pergi. Bukan pergi sebab mengalah. Ibarat kau main game. Kau bagi ... dan bagi org menembak, tapi bila sampai satu tempat yang tepat, kau akan mengelak dan lari ... kemudian peluru itu akan melantun kembali kepada si penembak. Tapi yakinlah, aku akan kembali.

Tapi cara aku ni, jangan buat kalau mental kau tak cukup kuat. Untuk aku, aku ada sokongan mental dan emosi yang kuat. Suami, anak-anak, family .. waima abang ipar dan biras2 bila balik ke kampung suami juga sangat membantu dalam aku mengawal emosi. Bila masalah tempat kerja meruncing, cuba bercakap dengan abang ipar ( abang suami ), alhamdulillah ada inisiatif baharu dapat di aplikasikan. Siapa abang ipar aku..? Allah tahu. Allah bagi aku circle yang sangat supportive, mungkin sebab itu ujian untuk aku juga besar.

Hinggalah satu masa, aku sudah terlalu banyak bermain dan permainkan emosi aku sendiri. Aku perlu lihat mereka di sekeliling aku turut terima tempiasnya daripada semua itu. Jadi, aku pergi walaupun hati cukup berat sekali. 

Orang akan kata : itu mungkin perasaan kau saja.

Ya, sebagaimana aku kata. Orang boleh cakap apa saja. Aku tahu. Aku bukan sehari dua kenali mereka. Sikap .. modus operandi mereka pun sudah masak aku kaji. Jadi, aku lebih selesa pergi dan senyap .. lenyap. hahhhh...gitu. Biar mereka yang berhak saja tahu.

3. Diamlah

Diam. Dalam banyak-banyak hal yang aku belajar, diam ini adalah pelajaran paling banyak mengubah hidup aku. Siapa yang asalnya kenal aku, mereka akan tahu diam itu bukan identiti aku. Kematangan mengubah sikap individu. Dalam banyak hal, aku sangat selesa untuk diam. Unless nak bising sesama kawan sorang dua tu biasa. Tapi kalau kerja nak bercakap tak tentu arah, kerja nak bagi pandangan tu ini sampai terlepas nak memandang rasional setiap arahan, aku lebih selesa diam, memerhati dan buat. Pernah baca buku 'Belajar Berfikir' ? Pernah baca buku ' The Body Language' ? Kalau belum baca, bacalah. Kita akan dapat melihat hint di sebalik gerak badan individu. Waima intonasi bercakap juga in sha Allah kita dapat mengesan sedikit apa maksud tersirat.

Satu hari aku diberi tugas. Ya, tahun di mana aku dibebani tugas yang berat. Tapi, macam biasa. Aku okey saja. Buat mana yang mampu. Alhamdulillah mula-mula saja keadaan agak kelam kabut. Lepas seminggu, semua dapat adapt dengan baik. Tapi, satu masa aku didatangi seseorang : Bagus sangat ke kau sampai ambik kau dari .... Yang dekat ... tak ada yang bagus ke ..?

Pertama, aku tersentak. Tipulah tak terasa. Semua tugasan yang aku terima, aku tak pernah mintak pun. Yang aku mintak, tak pernah pulak dapat. Kalau tanya aku apa yang aku nak..? Walau sekejap, aku cuma nak jadi cikgu yang masuk kelas mengajar ... fikir tentang budak. Balik rumah. Datang semula sekolah dan jalani rutin yang sama. Sejak posting, 2 tahun saja aku rasa benda tu. Selebihnya aku dalam usia perkhidmatan yang sangat sangat muda kena hadapi kerenah guru-guru untk selesaikan keperluan perkhidmatan mereka. Honestly, itu hal yang sangat berat bagi aku. Sedangkan masa tu, sah jawatan pun tak lagi.

Kedua, aku cepat-cepat senyum dan kata : Jangan risau. Nanti aku cadang nama kau ganti aku ya. Aku pun tak larat dah ni. ( Terus dia senyap )

Kadang-kadang kita terlalu banyak bercakap hingga akhirnya kita sendiri yang merumitkan keadaan. Dilabel sebagai kaki kipas pentadbir. Tak berhati perut. Tak boleh bawa berunding. Dari senyum sampai di jeling sepanjang masa. Ya, aku hadap dengan diam. Di fitnah hingga pemberian markah pdpc di nilai bersama emosi yang tidak profesional ( dapat markah paling rendah ) .. aku diam. Hingga lah kelas2 tingkatan 5 yang aku pegang sejak awal tahun di serahkan pada orang lain akibat golongan melobi dan label aku .. aku diam. Dan tugasan aku diambil alih oleh orang lain tanpa sepatah memaklumkan pada aku .. aku juga memilih untuk diam. 

Kenapa aku memilih untuk diam..? Tak perlu bercakap dengan orang yang sedang hanyut. Bak orang yang sedang hanyut bercinta, nasihatlah bagaimana pun mereka tidak akan pernah dengar. Tunggulah dah rosak ke, ada harta yang tergadai ke ... dah kena tinggal ke, in sha Allah mereka akan sedar nanti. Jadi, diam dan biarkan lah.

4. Letaklah adab di tempat yang Pertama

Setiap orang ada panas dan baran mereka sendiri. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, adakalanya tindakan kita jauh daripada rasional. Aku diam, aku lihat dan aku nilai. Banyak perkara kita boleh komen dan komplen, tapi sedarlah kita tidak duduk di tempat mereka. Sama lah keadaan sekarang. Bak kata orang. Nak nmpak pandai, jadi pembangkang. Nak nampak bodoh, jadilah pentadbir/kerajaan. 

Aku tolak jauh-jauh sudut pandang orang politik. Aku menilai pentadbir dan kami di bawah. Memandang dan berfikir dengan rasional itu sangat jauh dilakukan oleh ramai orang. Mungkin kerana itu, tak semua orang sesuai untuk jadi pentadbir. Sebahagian daripada kita mulutnya lebih cepat bergerak daripada otak. Maka terjadilah situasi .. cakap sangattttttt pandai. Tapi tindakan habis ke laut hindi. 

Mungkin di sebabkan pendirian aku ini, aku sering dinilai sebagai kaki kipas pentadbir. Bukan semua pentadbir betul tapi tak semua juga pentadbir salah. Ada pentadbir yang aku hormat dan contohi, dan ada juga pentadbir yang aku hormat tapi tak boleh dibuat contoh. 

Ada sesetengah orang menganggap, apabila dia bangun dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan suara yang sangat lantang menyatakan pentadbir itu salah .. salah dan salah, itu adalah lambang keberanian. Ada juga yang menganggap, apabila tiba dalam komuniti dia menyatakan rasa tidak puas hati dengan mengatakan pentadbir itu bodoh, tidak pandai ..bla bla bla dengan segala kata caci maki, itu tandanya dia betul, dia berani dan dia hebat. Ada juga yang menganggap dengan membahasakan pentadbir di dalam group komuniti sekolah secara umum,  itu tandanya dia hebat dan dia betul.

Betul, setiap pandangan perlu diraikan. Yang muda atau tua, masing-masing punya satu pandangan yang mungkin berbeza, mungkin juga sama. Setiap daripada kita berhak memberi pandangan. Tapi Islam terlebih dahulu mengajarkan kita tentang adab sebelum meraikan setiap pandangan. Sebagai pendidik, kita mahu mendidik generasi yang beradab bukan generasi biadap. Sebelum kita memandang pentadbir itu sebagai pentadbir, pandang dahulu mereka sebagai seorang tua dan guru. Ada caranya untuk memberi pandangan kita kepada mereka. Ada caranya untuk menegur mereka. 

keadaannya mudah. Bagaimana boleh kita hasilkan anak-anak yang beradab, jika kita sendiri biadap.

Iman memang tidak boleh di warisi. Tapi sikap itu in sha Allah boleh di warisi melalui cara hidup dan pemerhatian generasi seterusnya. Kita kena ingat. Murid-murid ni dia tak sebut apa yang kita buat, bukan sebab diorg tak nampak. Tapi diorg dh absorb dan diorng diam. Cuma tinggal nak apply je. Nanti kalau tiba-tiba kena tengking dan maki dengan anak murid, jangan cakap pasal adab pulak. Jangan sebut mak bapak diorg dulu. Baik lempang diri sendiri dulu.

5. Sayanglah sahabat sebaiknya

Dan akhirnya, jika kita punya sahabat, sayang dan jagalah mereka sebaiknya. Sahabat itu tidak seharusnya tetap berdua ke mana pun, tapi daripada perspektif aku, sahabat itu adalah mereka yang sangat memberi kesan positif dalam diri aku. Walau suntikan positif itu hanya melalui satu perkataan dan perbuatan. 

Untuk aku, aku tak pernah bagitahu pun siapa yang aku gelarkan sahabat, siapa yang aku tak boleh bersahabat. Itu antara hati aku dan attitude mereka. Tapi aku yakin, mereka yang aku anggap sahabat itu tahu aura yang aku sampaikan. Kenapa aku diam kan begitu?

Persahabatan itu bukan seperti kisah cinta yang perlu saling berbalas rasa. Cukup sendiri yang rasa. Tidak berbalas tidak mengapa. Oke oke saja. Begitulah. Allah lebih tahu setiap yang kita rasa. 

Hargailah mereka yang kita anggap sahabat. Sayangilah mereka. Mungkin mereka sebahagian asbab untuk kita ke syurga.

Sekian catatan panjang perpindahan tahun 2021.Mungkin jika ditakdirkan berpindah lagi, banyak lagi pelajaran yang bakal aku peroleh. Banyak kenangan yang ada dalam semua sekolah tempat aku bertugas. Terlalu panjang untuk dicatatkan di sini. Tapi, cukuplah ia kekal sebagai satu kenangan yang tidak akan pernah luput daripada ingatan.

Wallahualam. Wassalam

No comments:

Post a Comment