Friday, July 15, 2011

~ apabila muslim bertemankan non-muslim .. ~



Assalamualaikum semua ..
harap semua yang membaca berada dalam keadaan ok ok belaka ..;)

Sebagaimana post sebelum ini, ada satu firman Allah di dalam Surah An-Nisa' yang menjadi bahan fikiran saya. Kalau masih ingat ayat tersebut adalah :

“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam.” (QS. an-Nisa`: 140)

Baiklah. Apa yang membuatkan saya tertarik adalah pada ayat :

'.. apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain..'

Mengapa ia begitu menarik perhatian saya? Kerana seseorang itu telah menggunakan ayat Allah tersebut untuk menyatakan pendirian dia bahawa kerjasama antara muslim dan non-muslim yang pernah mempersoalkan hukum Allah adalah tidak boleh di terima sama sekali. Mungkin menurut dia, dalam apa saja erti kerjasama. Wallahualam .. tak pasti. Maka, saya mencari beberapa rujukan lain untuk memperkatakan tentang hal tersebut. Di sini, saya bawakan lagi maksud ayat yang sama dan lebih jelas. Saya peroleh dari Khulasah Al-Quran yang dikeluarkan oleh Institut Al-Balaghulmubin Sultan Haji Omar Ali Saifuddin :

Surah An-Nisa' : ayat 140 '... Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu ( perintah-Nya ) di dalam kitab ( Al-Quran ), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek ( oleh kaum kafir dan kaum munafik ), maka janganlah kamu duduk ( bergaul ) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk memperkatakan soal yang lain, kerana sesungguhnya ( jika kamu melakukan yang demikian ), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam...'

Maka di sini, benarlah dugaan saya bahawa kita dilarang bergaul dengan mereka ketika mereka mengejek-ejek ayat Allah .. kerana itu dilihat seperti kita membenarkan semua tindakan mereka. Namun, apabila mereka tidak lagi bertindak demikian maka boleh lah kita bergaul dengan mereka. Jadi, bagi saudara yang telah menggunakan ayat ini untuk menegakkan hujah bahawa Melayu Islam yang menyertai Perhimpunan Bersih itu sebagai Munafikun .. sila fikirkan semula.

Dalam Tafsir Ibnu Katsier, muka surat 578, Allah s.w.t berfirman pada penutup ayat 140 ini, kerana orang-orang munafiq itu menyekutui orang kafir dalam kekafirannya, maka Allah mengancam akan dijadikanlah mereka ( para munafiqin dan kafirin ) bersekutu dalam Jahannam, bersama-sama menerima balasan Allah dan siksaan-Nya.

Ambiga jelas memang pernah mempersoalkan Islam itu dan ini, tapi bukan lagi di dalam perhimpunan tersebut. Malah, Melayu Islam jelas telah membuat bantahan demi bantahan, semasa beliau mempersoalkan syariat Islam dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan Melayu Islam tidak bersekutu dengannya dalam kekafirannya. Lantaran perhimpunan tersebut tiada kaitannya Ambiga mengejek dan mempertikaikan Islam ... maka ramai jugalah Melayu Islam menyertai perhimpunan tersebut.

Seterusnya, kita beralih ke bahagian yang lain. Firman Allah di dalam Surah Al-Mumtahanah 60 : 8 yang bermaksud :

'... Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama ( kamu ) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang berlaku adil ...'

Dari Tafsir al-Munir, Juz 28 :

Ayat di atas bermaksud bahawa Allah SWT tidak menegah menjalinkan hubungan dengan golongan kafir mu'ahid yang telah berjanji dengan golongan mukmin untuk tidak memerangi mereka, tidak menolong orang-orang kafir memerangi orang Islam, tidak menegah muamalah yang adil dengan orang Islam ; seperti kabilah Khuza'ah dan lain-lain yang berjanji dengan Rasulullah s.a.w untuk tidak memerangi Baginda.

Bani Khuza'ah adalah kabilah yang telah mengikat perjanjian bersama Rasulullah s.a.w untuk tidak berperang dan tidak menyokong permusuhan. Mereka telah berjanji untuk tidak memerangi dan mengusir Rasulullah s.a.w. Oleh itu, Baginda memerintahkan agar dipelihara hubungan yang baik dan harmoni dengan mereka selagi mana mereka tetap setia terhadap janji-janji berkenaan.

Dan menurut saya, sekiranya golongan kafir ini mula menunjukkan tindakan seperti cuba mempersoalkan Islam, maka seharusnya umat Islam bertindak tegas dengan pendirian walaupun golongan kafir itu dalam aspek yang lain mempunyai hubungan yang baik dengan kita. Satu contoh yang mungkin boleh saya bawakan adalah melalui link di bawah :

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/4382-latarbelakang-larangan-operasi-pusat-hiburan-semasa-ramadan-di-kedah

Justeru, dalam banyak hal yang bersangkutan dengan perkara-perkara yang kita sendiri kurang jelas, maka perlulah di analisis, di selidiki secara ilmiah. Tuduhan membabi buta, caci maki yang tidak enak di dengar sebenarnya hanya permainan syaitan pada hati-hati manusia.

Walaupun kita tidak boleh terlalu menaruh rasa percaya kepada golongan kafir, namun tidak wajar jugalah kiranya kita sentiasa berburuk sangka kepada mereka. Adakah segala anggapan dan andaian kita benar belaka ? Apa yang ada di hati mereka sesungguhnya Allah jua yang Maha Mengetahui. Namun, berhati-hatilah. Saya yakin, setiap pihak .. setiap individu mempunyai pemikiran yang cukup matang dalam menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Lakukanlah pertimbangan yang sewajarnya untuk melakukan setiap tindakan. Dan jangan pula sewenang-wenangnya kita menuding jari ke arah mereka yang lebih berilmu sebagai hamba dunia, hamba golongan kafir tanpa kita tahu duduk hal sebenar. Sesungguhnya Allah mencintai golongan yang berilmu dan mengamalkannya.

Sekian,
Wassalam ...;)


No comments:

Post a Comment